Friday, September 24, 2010

Ria Raya Kent 2010!

Majlis Ria Raya Kent yang telah menjadi sambutan tradisi warga Kent telah berjaya dijalankan pada 24 September 2010 bersamaan hari Jumaat. Majlis ini diadakan pada jam 8.30 malam bertempat di Dewan Tun Datu Mustapha, IPG Kampus Kent. Seluruh warga Kent telah mengambil bahagian dalam majlis yang cukup bermakna ini. Majlis telah dirasmikan oleh yang berbahagia Pengarah Kampus, Puan Mary Teresa Kinajil. Dalam ucapannya beliau menyatakan sekalung penghargaan kepada pihak penganjur dan para pelatih yang telah bertungkus lumus dalam menjayakan program ini. Semangat dan kerjasama yang telah ditunjukkan oleh para guru pelatih mambuktikan bahawa semuanya mampu memberikan komitmen dalam tugas masing-masing. Tahniah diucapkan! Antara aktiviti menarik sepanjang majlis sambutan Ria Raya Kent pada malam tersebut ialah dendangan lagu-lagu raya oleh para guru pelatih, gerai tercantik, pertandingan kad raya kreatif dan King and Queen of the night. Majlis ini mendapat sambutan yang meriah dan menggalakkan daripada semua pihak.Pelbagai juadah menarik yang telah disediakan untuk santapan bersama. Oleh itu, pihak JPP ingin mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada seluruh pihak yang membantu dalam menjayakan Majlis Ria Raya Kent bagi tahun 2010 ini.

Thursday, September 2, 2010

Majlis Berbuka Puasa



Pihak JPP dengan kerjasama Jabatan HEP Kampus Kent telah menganjurkan Majlis Berbuka Puasa bersama pengarah kampus, Puan Mary Teresa Kinajil yang telah diadakan di perkarangan Masjid Nurul Yaqin, IPG Kampus Kent. Majlis ini telah dijalankan pada 2 September 2010 bersamaan dangan hari Khamis. Majlis ini melibatkan seluruh warga Kampus Kent termasuklah para pensyarah dan kakitangan bukan mengajar. Pelbagai juadah menarik yang telah disediakan sebagai santapan hidangan berbuka puasa. Aktiviti khatam al-Quran juga telah dijalankan sebelum tibanya waktu untuk berbuka puasa. Setelah berbuka puasa, semua warga muslimin dan muslimat telah mengikuti solat maghrib dan Isyak serta solat sunat terawih secara berjamaah. Program sebegini sememamngnya dapat megeratkan hubungan silaturrahim sesama warga Kent dan dapat memupuk perpaduan dan kasih sayang yang tinggi. Tahniah diucapkan!

Monday, August 30, 2010

Sambutan Kemerdekaan Peringkat IPG Kampus Kent

Pada 30 Ogos 2010, bersamaan hari Isnin, IPG Kampus Kent telah mengadakan sambutan Hari Kemerdekaan peringkat kampus . Program ini di bawah kelolaan PPISMP Pra Sekolah Semester 6 dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan JPP 2010. Program ini diadakan bagi memperingati tarikh kemerdekaan negara Malaysia dan memupuk semangat patriotik yang tinggi dalam kalangan warga IPG Kampus Kent. Program ini telah dirasmikan oleh yang berbahagia Pengarah Kampus, Puan Mary Teresa Kinajil diiringi dengan para pensyarah yang lain. Antara program menarik yang diadakan ialah persembahan tayangan video bertemakan kemerdekaan, nyanyian lagu-lagu patriotik yang didendangkan olah para guru pelatih, dan deklamasi sajak pemenang sempena sambutan bulan kemerdekaan. Program ini sememangnya mendapat sambutan yang cukup memberangsangkan daripada semua pihak. Majlis telah berakhir pada jam 11.30 pagi. Pihak JPP ingin merakamkan sekalung penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan majlis sambutan Hari Kemerdekaan yang ke-53 bagi tahun 2010 ini.

Sunday, August 8, 2010

Program Helwi

Selamat Malam,
berikut merupakan aktiviti Helwi yang akan dijalankan pada ketetapan berikut:

FORUM PERDANA
Tajuk: Antara Kaca Dan Permata
Tarikh:09 Ogos 2010
Masa: 8.30 malam
Tempat : Dewan Hone. IPG Kampus Kent

Tuesday, August 3, 2010

Helwi Activity!


Ladies..,cheer up! Let's come entertain yourself with this activity..! don't forget to join in!


JPP off Day

Jpp off day at One Borneo..!

Thursday, July 22, 2010

Program Derma Darah

Program Derma Darah telah diadakan pada 21 Julai 2010 bertempat di Dewan Hone, IPG Kampus Kent. Program kelolaan Unit Beruniform Bulan Sabit Merah Malaysia IPG Kampus Kent dengan kerjasama daripada pihak Hospital Queen Elizabeth ini telah mendapat sambutan yang menggalakkan daripada seluruh warga kampus. Program ini dijalankan pada jam 10.30 pagi dan berakhir kira-kira pada jam 2.30 petang. Tahniah kepada warga Kent yang berjaya menderma darah dan terima kasih diucapkan kepada pihak penganjur.


MAJLIS SAMBUTAN HARI GURU 2010

Assalamualaikum dan salam sejahtera, bertemu lagi kita dalam laporan pada kali ini yang berkisar tentang sambutan Hari Guru peringkat IPG Kampus Kent pada 16 Julai 2010. Meskipun majlis ini diadakan agak lewat daripada tarikh yang sepatutnya, namun ianya tidak memberikan sebarang masalah kepada warga Kent untuk bersama-sama meraikan majlis yang penuh bermakna ini.

Majlis telah bermuala seawal jam 8.30pagi bertempat di Dewan Tun Datu Mustapha yang tersergam indah. Kehadiran para guru pelatih dan pensyarah-pensyarah IPG Kampus Kent memeriahkan suasana dewan. Majlis kelolaan JPP dengan kerjasama Jabatan HEP dan beberapa unit yang lain ini telah dirasmikan oleh Pengarah Kampus, YB. Puan Mary Teresa Kinajil.

Selain itu, beberapa persembahan yang menarik telah disajikan bagi memeriahkan suasana majlis. Antaranya ialah persembahan puisi daripada a guru pelatih. Tidak kurang hebatnya, muncul seorang pensyarah yang berbakat menyampaikan puisi yang telah berjaya menggegarkan seisi dewan. Persembahan koir daripada barisan para guru pelatih yang menyampaikan lagu 'Kami Guru Malaysia' juga amat mempesonakan dan mendapat perhatian daripada semua pihak.

Majlis diakhiri dengan jamuan yang disediakan oleh para guru pelatih kepada para pensyarah yang telah menyumbangkan pelbagai bakti sebagai tanda penghargaan dan hadiah kepada mereka. Terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan majlis ini dan sekalung penghargaan kepada seluruh warga pendidik IPG Kampus Kent! Jasamu akan dikenang sehingga ke hembusan nafas yang terakhir. InsyAllah..

SIARAN LANGSUNG FIFA WORLD CUP 2010!

Program siaran langsung perlawanan bola sepak antara pasukan Belanda dan Sepanyol ini telah berlangsung dengan jayanya di Dewan Tun Datu Mustapha. Perlawanan yang bersiaran pada jam 2.30 pagi itu telah dihangatkan oleh guru-guru pelatih IPG Kampus Kent meskipun keesokan harinya kuliah akan dijalankan seperti biasa seawal jam 7.30 pagi. Namun, semangat kesukanan yang tinggi dalam kalangan guru pelatih membuatkan program siaran langsung ini tidak sepi. Beberapa orang pensyarah juga turut 'turun padang' bagi bersama-sama menyaksikan perlawanan Piala Dunia yang diadakan empat tahun sekali. Sebelum bermulanya perlawanan juga, pihak penganjur iaitu JPP dengan kerjasama Jabatan HEP telah mengadakan beberapa 'game' bagi menghangatkan suasana. Terima kasih kepada semua pihak yang bersama-sama menjayakan program ini! Tidak dilupakan juga kepada pasukan kegemaran ramai iaitu Sepanyol yang berjaya menjaringkan gol kemenangan pada saat-saat akhir perlawanan dan menjuarai Perlawanan Bola Sepak Piala Dunia pada tahun ini!



PES

MAJLIS SALAM MESRA BERSAMA PENGARAH BPG

Pada 6 Julai 2010 bersamaan hari Selasa, IPG Kampus Kent telah menerima kunjungan mesra daripada Pengarah BPG, bertempat di dewan Tun Datu Mustapha,IPG Kampus Kent. Ketibaan Tuan Pengarah disambut mesra oleh pengarah kampus, timbalan pengarah dan ketua-ketua jabatan serta beberapa orang pensyarah yang terlibat. Majlis ini dikelolakan oleh Jawatankuasa Perwakilan Pelajar dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Pelajar.

Kunjungan mesra daripada Pengarah BPG ini bertujuan untuk memberikan dorongan dan amanat kepada seluruh pelajar ambilan baru Jun 2010 yang berjaya menempatkan diri dalam alam perguruan. Dalam ucapannya, beliau menegaskan beberapa etika penting bagi melayakkan seseorang itu menjadi guru yang cemerlang dan berkualiti. Tugas guru bukan sahaja mengajar malah mendidik seseorang pelajar itu dengan bersungguh-sungguh dalam pelbagai aspek. Kejayaan mendidik pelajar merupakan komponen penting bagi sesebuah institusi untuk melahirkan pelajar yang seimbang dari aspek jasmani dan rohani.


Majlis berakhir dengan nyanyian lagu negaraku dan jamuan ringkas bagi Tuan Pengarah serta para pensyarah yang terlibat. Pihak JPP ingin merakamkan sekalung penghargaan kepada YB Tuan Pengarah BPG kerana sudi mengadakan kunjungan mesra di kampus ini. Sekalung tahniah juga diucapkan kepada semua pihak yang bekerjasama dalam menjayakan majlis ini.

Saturday, July 17, 2010

Perhimpunan Kolej Kediaman

Perhimpunan Kolej Kediaman pada kali ini telah diadakan pada 5 Julai 2010 bertempat di Dewan Tun Datu Mustapha tepat jam 8.30 malam. Perhimpunan ini dijalankan bagi memenuhi takwim aktiviti bulanan Kolej Kediaman. Perhimpunan ringkas di bawah Exco Kolej Kediaman dengan kerjasama Jabatan HEP ini telah dihadiri oleh En. Amidy Malagob selaku Ketua Jabatan HEP dan seluruh penghuni Kolej Kediaman IPG Kampus Kent.

Selain itu, tujuan perhimpunan ini dijalankan adalah untuk pengisian borang banci serta sesi bergambar peghuni Kolej Kediaman. En. Amidy telah memberikan taklimat pengisian borang banci bagi mengelakkan sebarang kemusykilan yang berlaku. Perhimpunan tamat pada jam 10.30 malam dengan nyanian lagu Negaraku.

Perhimpunan Bersama Pengarah

Majlis Perhimpunan Rasmi Bersama Pengarah telah selesai dijalankan pada 5 Julai 2010 bersamaan hari Isnin yang bertempat di Dewan Tun Datu Mustapha tepat pada jam 10.30 pagi. Majlis di bawah kelolaan JPP dengan kerjasama Jabatan HEP ini telah dihadiri oleh para pensyarah dan guru-guru pelatih IPG Kent. Perhimpunan yang bertemakan 'Selangkah Ke Alam Pendidikan' ini mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada Pengarah Kampus. Ucapannya yang menekankan kepentingan komunikasi berkesan dalam pengajaran dan pembelajaran adalah menjadi tanggungjawab seorang guru.

Dari kiri: En. Doti Asing, En. Romli Darus, YB Pn. Mary Teresa Kinajil, Pn. Juliana Dumpil

Beliau juga menekankan agar para guru pelatih bersungguh-sungguh sepanjang tempoh latihan ini agar dapat menggunakan pengalaman yang ada bagi menempuhi kehidupan sebagai seorang pendidik kelak. Majlis berakhir pada jam 11.30 dengan nyanyian lagu Negaraku. Ucapan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang memberikan kerjasama padu dalam menjayakan perhimpunan pada kali ini.

Monday, June 28, 2010

Ragam Sesi Pendaftaran Guru Pelatih Ambilan Baru Jun 2010


Pada 28 Jun 2010, bersamaan hari Isnin, IPG Kampus Kent, Tuaran telah menerima pelajar baru yang berjumlah seramai 170 orang bagi bakal guru-guru pelatih Kursus Perguruan Lepasan SPM ( KPLSPM ) dan Kursus Perguruan Lepas Ijazah. Sesi pendaftaran bermula seawal jam 8.00 pagi dan berakhir kira-kira jam 12.00 petang dan disusuli dengan sesi Taklimat Waris yang disampaikan oleh En. Fauzi Hassan selaku Ketua Kebajikan Guru Pelatih Jabatan Hal Ehwal Pelajar. Para guru pelatih yang ingin mendaftar telah datang seawal jam 7.30 pagi dengan penuh semangat. Antara unit yang terlibat dalam ambilan pelajar baharu pada kali ini ialah:

1. Unit PPISMP Pengajian Agama Islam Sekolah Rendah
2. Unit PPISMP Bahasa Melayu Sekolah Jenis Kebangsaan Cina
3. Unit PPISMP Bahasa Melayu Sekolah Jenis Kebangsaan India
4. Unit PPISMP Matematik
5. Unit PPISMP Pra Sekolah
6. Unit PPISMP Bahasa Cina
7. Unit KPLI Pra Sekolah
8. Unit KPLI Bahasa Cina

Proses pendaftaran telah berjalan dengan lancar kecuali tempoh pendaftaran yang terpaksa dipanjangkan memandangkan masih ramai pelajar yang belum datang untuk mendaftarkan diri. Seramai 30 orang Jawatankuasa Perwakilan Pelajar telah ditugaskan untuk membantu para pensyarah bagi memastikan perjalanan sesi pendaftaran berjalan dengan jayanya. Akhir sekali, tahniah diucapkan kepada para guru pelatih baharu yang berjaya menempatkan diri di kampus kita yang tercinta ini dan selamat menempuhi pengalaman baru!

Tuesday, June 22, 2010

Selamat Kembali Ke Kent!

Sukacita dimaklumkan kepada semua Jawatankuasa Perwakilan Pelajar, pada 27 Jun 2010 bersamaan hari Ahad, satu mesyuarat akan diadakan bagi membincangkan pelaksanaan program orientasi pelajar baru yang akan dijalankan pada 28 Jun 2010 (Isnin). Untuk makluman semua, pada kali ini, ambilan pelajar baru sesi 2010 ini terdiri daripada 6 opsyen PPISMP dan 2 opsyen bagi KPLI. Segala kerjasama daripada pihak anda amatlah diharapkan dan didahului dengan ucapan terima kasih.

Tuesday, June 15, 2010

Peristiwa Kapal Mavi Marmara Diserang Tentera Israel


Rentetan peristiwa kapal Mavi Marmara diserang tentera Israel

Mei 31, 10 – 12:51pm

Dua belas rakyat Malaysia disahkan berada di kapal Mavi Marmara – kapal utama flotila enam kapal yang ditugaskan menghantar bantuan kemanusiaan ke Semenanjung Gaza yang diserbu dan diserang oleh tentera rejim Israel.

Mereka adalah sebahagian daripada misi 11 anggota yang dinamakan Lifeline4Gaza, yang mengambil bahagian dalam ‘Flotila Kebebasan’ bagi membawa bantuan kemanusiaan ke Semenajung Gaza.

Adalah dipercayai Lifeline bukan badan kemanusian tunggal dari Malaysia yang terbabit, kerana ada beberapa kumpulan yang bergerak secara berasingan dengan kapal yang lain.

Televisyen Al-Aqsa Gaza, menunjukkan imej video komando Israel yang berpakaian serba hitam turun daripada helikopter dan bertempur dengan kumpulan aktivis, di mana beberapa yang cedera kelihatan terbaring di atas dek kapal itu.

Rangkaian televisyen berkenaan berkata, laporan awal mengesahkan dua aktivis terbunuh manakala 50 yang lain cedera.

Berita penuh di laman web Malaysiakini


Terkini Jun 2, 10 12:08pm

Semua 12 rakyat Malaysia yang ditawan oleh tentera Israel semasa kapal Mavi Marmara diserang pagi Isnin lalu disahkan selamat.

Perkara itu disahkan oleh wartawan Astro Awani, Ashwad Ismail yang menghubungi bilik beritanya di Kuala Lumpur, sebentar tadi.

Ashwad adalah seorang daripada 12 rakyat Malaysia yang ditahan itu.

Semua mereka kini berada di sempadan di Jordan sementara menunggu persiapan bagi membawa mereka pulang ke Malaysia.

Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman kini dalam perjalanan ke Jordan bagi menguruskan pembebasan 12 rakyat Malaysia yang ditawan pihak Israel itu.

Beliau berlepas ke Jordan pada jam 10.15 pagi tadi dan dijangka tiba di Amman pada jam 1.30 tengahari waktu Malaysia.

Pegawai tentera Jordan, Brigadier Mahmoud Abu Jumaa berkata, negaranya akan membantu menghantar pulang aktivis itu ke negara masing-masing dengan kerjasama kerajaan mereka.

Aktivis yang dibebaskan itu terdiri daripada rakyat Malaysia, Azerbaijan, Indonesia, Pakistan, Algeria, Jordan, Kuwait, Maghribi, Mauritania, Yemen, Oman dan Bahrain.

Senarai nama 12 orang aktivis warga Malaysia :

Berikut senarai nama nama-nama rakyat Malaysia yang menyertai Misi Talian Hayat Untuk Gaza yang berada di kapal Mavi Marmara yang diserang dan ditawan tentera rejim Israel awal pagi semalam.

Maklumat adalah berdasarkan laman web Lifeline4Gaza.

* Noorazman Mohd Samsuddin, HaluanPalestin
* Dr Mohd Arbai’e Syawal, Haluanalestin
* Dr Syed Muhammad Haleem Syed Hasan al-Haddad, HaluanPalestin
* Al-Hami Husain Suhaimi, HaluanPalestin
* Mohd Nizam Mohd Awang, HaluanPalestin
* Hasanuddin Mohd Yunus, Aqsa Syarif
* Jamuliddin Elias, Yayasan Amal

* Dr Selamat Aliman, Jemaah Islah Malaysia (JIM)
* Abdul Halim Mohd Redzuan, Muslim Care
* Mustafa Mansur, Mapim
* Ashwad Ismail, wartawan Astro
* Shamsul Kamal Latif, jurukamera Astro

Berita penuh di laman web Malaysiakini.


Sunday, May 16, 2010

JPP WISH U






SILA KLIK PADA GAMBAR UNTUK PAPARAN YANG LEBIH MENARIK!

Hadiah Hari Guru

Hadiah untuk guru
Oleh Rohaniza Idris
roha@bharian.com.my
2010/05/16

TIMBALAN Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Mohd  Yassin ketika melawat Pameran Expo Pendidikan di Persiaran Perdana, Presint 2, semalam. Turut sama, Presiden Majlis Belia Malaysia, Mohamed Maliki Mohamed Rapiee (kiri). - Foto David Khoo.
TIMBALAN Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin ketika melawat Pameran Expo Pendidikan di Persiaran Perdana, Presint 2, semalam. Turut sama, Presiden Majlis Belia Malaysia, Mohamed Maliki Mohamed Rapiee (kiri). - Foto David Khoo.
20,000 warga pendidik naik gaji, pangkat

KUALA LUMPUR: Lebih 20,000 guru, termasuk pengetua dan guru penolong kanan hal ehwal murid (PK HEM) serta guru besar dijangka menikmati kenaikan pangkat, elaun dan manfaat lain yang akan diumumkan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, sempena Hari Guru peringkat kebangsaan yang disambut di Kuantan, hari ini. Selain itu, pelbagai insentif lain juga dijangka diumumkan Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran termasuk langkah mengurangkan beban kerja yang selama ini ‘menghantui’ golongan ini. Sumber berkata, kenaikan pangkat yang membabitkan kategori DGA32 hingga DGA54 turut merangkumi pegawai perkhidmatan pendidikan yang bertugas di Kementerian Pelajaran, Jabatan Pelajaran Negeri, pejabat pelajaran daerah dan pensyarah Institut Pendidikan Guru.

Katanya, ketika ini guru besar bukan siswazah di sekolah kurang murid kebanyakannya memegang gred DGA32 manakala guru besar di sekolah gred A, DGA34.

“Bagi sekolah menengah, kebanyakan guru penolong kanan hal ehwal murid (PK HEM) berada dalam gred DGA44 berbeza dengan PK Pentadbiran dalam gred DG48. Mungkin ada penyeragaman pangkat di antara mereka,” katanya kepada Berita Minggu, semalam.

Sumber itu berkata, Muhyiddin juga dijangka mengumumkan satu tawaran baru iaitu ganjaran kewangan kepada pengetua, guru besar dan guru-guru yang berjaya melonjakkan prestasi sekolah masing-masing.
Selain itu katanya, ganjaran juga dijangka diberikan kepada pengetua, guru besar dan guru-guru yang berjaya melonjakkan kedudukan sekolah.

Bagaimanapun katanya, Muhyiddin akan memberikan penjelasan terperinci mengenai perkara berkenaan ketika mengumumkannya.

Sumber itu juga berkata, ganjaran yang diberikan kepada pengetua, guru besar dan guru pula lebih kepada pencapaian dan prestasi yang dicapai sekolah mengikut ketetapan kementerian.

Mengenai beban tugas guru yang diberikan perhatian serius oleh Muhyiddin, beberapa tindakan juga dijangka diambil. Antara bebanan yang dijangka dikurangkan ialah tugas perkeranian yang sebelum ini menjadi bebanan guru sehingga mengganggu tugas hakiki mereka iaitu pengajaran dan pembelajaran di kelas.

Selain itu, katanya, kursus yang akan dihadiri guru juga akan diselaraskan supaya tidak berlaku pertindihan. Ini bagi mengelak guru yang sama mengikuti pelbagai jenis kursus yang dianjurkan.

Sumber itu berkata, pembahagian tugas di sekolah juga akan diberi perhatian dengan mengagihkan tugas secara adil bagi mengelakkan bebanan tugas tertumpu kepada guru tertentu saja.

Katanya, Muhyiddin juga dijangka mengumumkan ganjaran untuk mereka yang berkhidmat di kawasan pedalaman yang bakal dinikmati semua guru selain mengambil kira tempoh perkhidmatan mereka di kawasan berkenaan.

“Ini bermakna guru yang lama berkhidmat di kawasan pedalaman kemungkinan berpeluang untuk mengajar di kawasan bandar begitu juga sebaliknya,” katanya.

Sumber juga berkata, pengumuman Muhyiddin itu adalah antara 10 perkara yang dibincangkan kesatuan guru dengan Kementerian Pelajaran. Namun, atas dasar penjimatan, beberapa tuntutan tidak dapat dilaksanakan tahun ini.

Katanya, kementerian tidak mungkin menaikkan elaun wilayah walaupun beberapa tuntutan mengenai perkara itu sudah dibangkitkan kesatuan guru beberapa kali.

Sebelum ini, Muhyiddin berkata, beliau akan mengumumkan satu dasar baru yang lebih komprehensif untuk guru sempena sambutan Hari Guru peringkat kebangsaan.
Dasar itu, katanya akan mengandungi skim lebih baik untuk pengetua dan guru besar dari segi kenaikan pangkat, elaun dan manfaat lain.

Ketika ini, ada 400,000 guru di seluruh negara, termasuk pengetua, guru besar, penolong kanan serta pegawai perkhidmatan pendidikan yang bertugas di Kementerian Pelajaran, Jabatan Pelajaran Negeri dan pejabat pelajaran daerah.

BERITA HARIAN ONLINE

Saturday, May 15, 2010

TEMA HARI GURU

2010 Guru Pembina Negara Bangsa

2009 Guru Pembina Negara Bangsa

2008 Guru Cemerlang Negara Terbilang

2007 Guru Penjana Modal Insan Gemilang

2006 Pendidikan Bestari Pemangkin Kegemilangan

2005 Guru Berkualiti Pemangkin Kegemilangan

2004 Guru Berkualiti Pemangkin Kegemilangan

2003 Guru Berkualiti Aspirasi Negara

2002 Guru Berkualiti Aspirasi Negara

2001 Memartabatkan Profesion Keguruan tanggungjawab Bersama

2000 Bersatu Memartabatkan Profesion Keguruan

1999 Guru Berkesan Pendidikan Cemerlang

1998 Guru Penyemai Tanggungjawab Bersama

1997 Guru Bestari Sekolah Bestari

1996 Guru Malaysia Teras Pendidikan Bertaraf Dunia

1995 Permuafakatan dan Perpaduan Menjayakan Wawasan

1994 Guru Inovatif dan Kreatif Menjayakan Wawasan

1993 Guru Inovatif dan Kreatif Menjayakan Wawasan

1992 Guru Cemerlang Teras Kejayaan Wawasan

1991 Ke Arah Pendidikan Cemerlang

1990 Pendidikan Bermutu Masyarakat Sejahtera

1989 Guru Pembina Budaya Ilmu

1989 Guru Pembina Budaya Ilmu

1988 Guru Pengasas Budaya Membaca

1987 Pendidikan Ke Arah Kesejahteraan Insan

1986 Pendidikan Teras Nasionalisme

1985 Guru dan Masyarakat Asas Kemajuan Pendidikan

1984 Kepimpinan Berteladan Kesempurnaan Pendidikan

1983 Kepimpinan Berteladan Teras Pendidikan

1982 Ke Arah Kecekapan Guru Dan Pendidikan Bermutu

1981 Pengorbanan Guru Kejayaan Rakyat

1980 Pendidikan Teras Perpaduan Negara

1979 Murid Sejahtera Negara Jaya

1978 Guru Pembentuk Generasi Akan Datang

1977 Dedikasi dan Disiplin Asas Kemajuan Pendidikan

1976 Pendidikan Moral Dalam Zaman Kemajuan Pendidikan

1975 Guru dan Pembangunan Negara

1974 Peranan Guru Dalam Zaman Sains dan Teknologi

1973 Kerjasama Ibu Bapa Untuk Kemajuan Pendidikan

1972 Peranan Guru Dalam Pembangunan Negara

Thursday, May 13, 2010

KENT JUARA!



Pertandingan Bahas Bahasa Melayu Peringkat IPGM Zon Sabah telah berlangsung dengan jayanya bertempat di IPG Kampus Tawau, Sabah. Pertandingan yang berlangsung selama 3 hari 2 malam ini membawa berita yang cukup menggembirakan bagi seluruh warga Kent apabila wakil IPG Kent telah berjaya menjuarai keseluruhan pertandingan tersebut. Senarai nama pendebat yang telah mengharumkan nama IPG Kampus Kent adalah seperti berikut:

1. Nor Azlina Abdul Lateh ( PISMP BA)
2. Muhammad Habibullah Safri ( PISMP SN )
3. Zulkifly Omar ( PPISMP KS )
4. Nur Izyan Shafinaz Aznan ( PPISMP SN )



Tahniah diucapkan kepada barisan pendebat IP! Turut menggembirakan apabila pendebat terbaik keseluruhan telah disandang oleh saudari Nor Azlina Abdul Lateh! Tidak dilupakan juga kepada pensyarah pengiring, En. Razali Hj. Shukor yang komited dalam membantu menyuntik semangat dan memberikan sumbangan idea kepada barisan pendebat IP. Tempat kedua disandang oleh IPG Keningau, tempat ketiga, IPG Tawau dan tempat keempat disandang oleh IPG Gaya. Syabas dan tahniah diucapkan kepada barisan pendebat IP Kent yang akan mewakili Zon Sabah ke peringkat kebangsaan pada bulan Julai semester hadapan. Bersama-sama kita doakan kejayaan mereka.InsyAllah..

Wednesday, May 12, 2010

Pameran Inovasi Pedagogi

Pameran Inovasi Pedagogi telah berjaya dilaksanakan pada 6 hingga 7 Mei 2010 bertempat di Dewan Tun Datu Mustapha, IPG Kampus Kent. Pameran ini telah dianjurkan oleh Jabatan Pengajian Ilmu Pendidikan yang melibatkan semua guru pelatih KPLI ambilan Januari 2009 dan Jun 2009. Pameran ini mengandungi pelbagai info serta maklumat yang menarik berkaitan dengan bahan-bahan pengajaran murid di sekolah dan alat-alat bantu mengajar. Pameran ini wajar dilaksanakan secara berterusan bagi mendedahkan semua lapisan guru pelatih berkaitan dengan bahan-bahan serta info yang boleh digunakan seselum memasuki ke alam perguruan yang sebenar di sekolah nanti. Program ini tamat tepat pada jam 1600 setelah selesai program perasmian penutupan.

Pelancaran Kempen 3S dan Program Diskusi Slot Akhbar

Syukur alhamdulillah, pada 3 Mei 2010, bersamaan hari Isnin yang lalu, Perhimpunan Bersama Pengarah telah berjaya dilaksanakan. Perhimpuanan ini dihadiri oleh Timbalan Pengarah IPG Kampus Kent, Encik Romli bin Darus, pensyarah-pensyarah kampus seterusnya para guru pelatih di institut ini. Perhimpunan yang bertemakan 'Budi Bahasa Budaya Kita' ini menerapkan pelbagai nilai-nilai murni yang wajar dijadikan sebagai amalan harian setiap individu.

Di kesempatan ini juga, barisan exco JPP dengan kerjasama JHEP serta pihak pelaksana perhimpunan telah melancarkan Kempen 3S dan Diskusi Slot Akhbar yang telah dirasmikan dengan jayanya oleh Timbalan Pengarah Kampus. Kempen 3 S yang membawa maksud SENYUM, SAPA dan SALAM merupakan satu budaya yang ingin dihidupkan kembali memandangkan budaya ini semakin pupus dalam kalangan setiap individu warga Kent hasil cetusan idea daripada Exco Kesenian dan Kebudayaan. Program Diskusi Slot Akhbar pula merupakan satu ruangan perbincangan yang dilancarkan di dalam blog JPP berkenaan isu-isu semasa dalam dan luar negara yang dikelolakan oleh Exco Pendidikan dan Akademik berikutan budaya pelajar IPT yang semakin kurang membaca akhbar. Sehubungan dengan itu, slot ini diharapakan mampu menjadi sebuah ruangan perbincangan formal untuk berkongsi cetusan idea-idea yang kritis dan kreatif dalam usaha menangani pelbagai isu semasa yang berlaku.

Perhimpunan ini tamat pada jam 12.30 tengahari yang diakhiri dengan nyanyian lagu Negaraku. Terima kasih diucapkan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan perhimpunan rasmi ini.

Wednesday, April 28, 2010

Pertandingan Karnival Teknologi Pendidikan

April 27, 2010


Pertandingan Karnival Teknologi Pendidikan Anjuran IPGM Kampus Dato' Razali Ismail.

Peserta : Pelajar IPG Seluruh Malaysia

Tema : Pendidikan Alam Sekitar menjamin Kesejahteraan Manusia

Masa : Tayangan : 5 minit

Format Video : .avi

Maksimum penyertaan : 10 penyertaan setiap orang dalam bentuk DVD

Tarikh akhir : 28 Mei 2010


Maklumat lanjut hubungi :

Biamin bin Ahmad
Ketua Jabatan
Jabatan Teknologi Pendidikan
IPG Kampus Dato' Razali Ismail.


Perhatian kepada unit yang berminat untuk menyertai pertandingan ini, sila berhubung dengan Exco Penerbitan, Informasi dan Multimedia Jawatankuasa Perwakilan Pelajar 2010 sebelum 15 Mei 2010. Arigatou gozaimasu!

Perjumpaan Asrama Kali Ke-3

Perhimpunan Kolej Kediaman telah berlangsung dengan jayanya pada 28 April 2010 lalu yang telah dihadiri oleh semua penghuni Kolej Kediaman dan barisan warden IPG Kampus Kent. Majlis ini telah dikendalikan oleh barisan exco JPP dengan kerjasama pihak AJK Kolej Kediaman sesi 2010/2011. Lagu Sabah Tanah Airku dan lagu IPG telah dinyanyikan sebagai pembuka tirai majlis serta bacaan doa yang diketuai oleh seorang guru pelatih.Majlis diteruskan dengan ucapan alu-aluan daripada Ketua Exco Kolej Kediaman, Saudara Alvin Sapun dan timbalannya, Saudari Suzitah Joas. Pengumuman ringkas telah disampaikan kepada semua penghuni Kolej Kediaman agar sentiasa menjaga kebersihan dan keceriaan Kolej Kediaman kerana pertandingan Kebersihan dan Keceriaan Kolej Kediaman akan dilaksanakan bermula pada minggu tersebut. Ucapan alu-aluan telah diteruskan oleh En. Shybin Jafaar selaku Ketua Warden Exco Kolej Kediaman yang telah menyampaikan beberapa makluman penting kepada semua guru pelatih. Antaranya ialah, mematuhi peraturan jadual waktu interaksi yang telah ditetapkan, memakai pakaian formal ketika Perhimpunan Kolej Kediaman dijalankan dan sentiasa menjaga tatasusila dan akhlak sebagai seorang bakal guru. Diharapkan perhimpunan ringkas ini memberikan banyak manfaat kepada semua guru pelatih mengenai maklumat-maklumat terbaru yang telah disampaikan. Majlis berakhir dengan nyanyian lagu Negaraku.

Makan Malam Bersama Pengarah


Pada 19 April 2010 bersamaan hari Isnin, satu Majlis Makan Malam bersama Pengarah IPG Kampus Kent telah berlangsung dengan meriahnya. Majlis Makan Malam yang berlokasi di Restoran Kampung Nelayan, Tuaran telah dihadiri oleh Pengarah IPG, YB Puan Mary Teresa Kinajil, barisan pensyarah HEP dan pensyarah-pensyarah lain, barisan JPP sesi 2010/2011 dan JPP sesi 2009/2010.

Bacaan doa yang diketuai oleh saudara Ahmad Nur Zharif telah menjadi pembuka tirai majlis makan malam ini. Majlis dirteruskan dengan jamuan makan malam yang telah disediakan oleh pihak restoran. Selain itu, pihak restoran juga telah mengadakan persembahan pentas khusus untuk menghiburkan para pengunjung yang hadir pada malam itu. Menariknya, beberapa orang wakil daripada IPG Kampus Kent turut berani menampilkan diri apabila menerima undangan spontan daripada para penghibur tersebut. Sesungguhnya, majlis seumpama ini mampu untuk melahirkan ikatan silaturrahim yang lebih erat antara para pensyarah dan para exco Jawatankuasa Perwakilan Pelajar yang lama dan baru.

Majlis disusuli dengan sesi bergambar bersama Pengarah Kampus dan berakhir pada jam 11.00 malam. Pihak JPP sesi 2010/2011 ingin memberikan sekalung penghargaan kepada para pensyarah yang terlibat dalam Majlis Makan Malam ini yang bertujuan untuk meraikan perlantikan barisan JPP yang baru dan sebagai penghargaan kepada barisan exca JPP yang lam. Ucapan syabas dan tahniah juga ditujukan kepada barisan JPP sesi 2009/2010 yang telah berjaya menjalankan tugas sepanjang tahun 2009 yang lalu.

Monday, April 19, 2010

Kem Kepimpinan Fasa 1

Laporan Kursus Kem Kepimpinan Fasa 1

Pada 15 April 2010 bersamaan hari Khamis, Jawatankuasa Perwakilan Pelajar, IPG Kampus Kent telah menganjurkan aktiviti Kursus Kem Kepimpinan yang disertai oleh 34 orang JPP dan enam orang Ketua unit PPISMP Ambilan Julai 2009 yang mewakili unit masing-masing seterusnya menggantikan tempat enam orang exco yang tidak dapat menyertai kem ini. Tidak ketinggalan juga enam orang pensyarah pengiring yang bertindak sebagai pemerhati dan tiga orang jurukamera yang bertugas melaksanakan tugas pendokumentasian sepanjang program ini berlangsung.

Kursus Kem Kepimpinan ini telah diadakan di Pusat Kokurikulum Negeri yang bertempat di Malanggang, Tamparuli. Perjalanan menuju ke destinasi yang menggunakan bas IP Kent telah mengambil masa selama satu jam. Setibanya di tapak perkhemahan, para peserta telah bergotong-royong membentuk khemah penginapan di bawah tunjuk ajar pensyarah yang bersama-sama menyertai program ini..

Seterusnya pada jam 10.00 pagi, LDK 1 ( Ice-breaking dan pembentukan kumpulan ) telah dijalankan dan dikendalikan oleh Encik Shyibin Jaafar. Setelah itu, aktiviti bengkel 1 telah dijalankan dan berakhir setelah masuk waktu untuk menunaikan solat Zohor dan makan tengah hari. Pada jam 1400, aktiviti disusuli dengan slot ceramah yang disampaikan oleh Timbalan Pengarah IPG Kent, Encik Romli Darus yang memberikan ceramah berkaitan dengan “Towering Personality” yang menjadi pengisian aktiviti bengkel 2. Pada jam 1600, aktiviti riadah yang bertujuan untuk membina keyakinan diri yang dijalankan melalui aktiviti “Flying Fox”.

Pada sebelah malam, semua exco telah mengadakan perbincangan masing-masing bagi menyediakan kertas kerja perancangan program tahunan JPP. Kertas kerja tersebut amat penting bagi memastikan setiap program berjalan dengan jayanya dan akan diambil tindakan susulan untuk dilaksanakan sekembalinya ke kampus Kent bagi memenuhi takwim tahunan JPP.

Pada 16 April 2010 bersamaan hari Jumaat, peserta muslim telah mendirikan solat Qiammullail sebagai santapan rohani manakala bagi peserta bukan muslim pula mereka telah menghadiri kuliah moral. Aktiviti riadah pada sebelah paginya pula ialah aktiviti berbasikal. Menariknya, aktiviti ini merupakan salah satu aktiviti yang dinanti-nantikan oleh semua peserta kem. Hal ini kerana, terdapat segelintir peserta kem yang tidak berpengalaman mengayuh basikal sebelum ini. Peserta mengayuh basikal dari Pusat Ko-kurikulum menuju ke pekan Kiulu yang memakan masa selama satu jam perjalanan. Bagi peserta lelaki yang muslim, solat Jumaat telah didirikan di Masjid Kiulu dan seterusnya menikmati makanan tengahari yang disediakan oleh pihak Pusat Ko-kurikulum sekembalinya semua peserta ke tapak perkhemahan.

Pada sebelah petang, semua peserta telah bersiap sedia untuk kembali ke IP Kent dan bertolak tepat pada jam 1500. Aktiviti ini amat berfaedah dan sewajarnya dianjurkan agar para peserta yang terlibat mampu membentuk sifat kepimpinan dan jati diri yang cemerlang. Hal ini kerana, para peserta yang terlibat merupakan barisan pemimpin yang bertanggungjawab memimpin dan mewakili suara guru pelatih warga Kent dalam menempuhi kehidupan sebagai seorang bakal guru khususnya. Diharapkan aktiviti seumpama ini akan terus dijalankan sebagai usaha untuk melahirkan graduan IP Kent yang berkarisma tinggi, berkepimpinan dan berdaya saing serta memiliki intelek yang tinggi selaras dengan kehendak profesion keguruan masa kini.

Mesyuarat Jawatankuasa kali ke-4

Mesyuarat JPP kali keempat telah diadakan pada 12 April 2010 bertempat di Bilik Mahathir IPG Kampus Kent. Mesyuarat pada kali ini telah dihadiri oleh Ustaz Mohd. Fauzi Hassan (Penasihat JPP) dan semua ahli JPP sesi 2010/2011. Namun demikian, terdapat juga beberapa orang ahli jawatankuasa yang tidak dapat menghadirkan diri dalam mesyuarat ini atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan.

Agenda mesyuarat ini adalah untuk memberi makluman kepada semua ahli JPP berkaitan dengan keputusan Takwim Aktivit Tahunan bagi tahun 2010 dan 2011. Takwim Aktiviti Tahunan tersebut telah disampaikan dengan jelas dan terperinci oleh Setiausaha Agung, Saudara Ak. Azmi Ak. Jiar. Majlis diteruskan dengan perbincangan bersama Ustaz Mohd. Fauzi berkaitan dengan isu-isu semasa yang melibatkan hal kebajikan para guru pelatih. Akhir sekali, perbincangan mesyuarat dibuka kepada hal-hal berbangkit. Dalam perbincangan ini, Ustaz Mohd. Fauzi telah memaklumkan bahawa pada tahun ini JPP akan diaudit oleh pihak pengaudit (MQA) yang bertanggunjawab untuk menjalankan tugas tersebut. Oleh itu, semua exco dikehendaki untuk bersedia.

Mesyuarat diakhiri dengan kata-kata perangsang dan nasihat daripada pensyarah penasihat agar JPP pada tahun ini akan bergiat dengan lebih aktif dan memberikan komitmen dengan sebaiknya agar segala urusan kerja dapat dilaksanakan dengan cemerlang. Setinggi-tinggi penghargaan kepada Ustaz Mohd. Fauzi kerana sudi meluangkan masa untuk bersama-sama menghadiri mesyuarat pada kali ini. Segala kekurangan harap dapat dimaafkan.

Laporan Sesi Dialog Bersama JPP

Pada 30 haribulan Mac 2010 bersamaan dengan hari selasa, Exco Pendidikan dan Akademik telah mengadakan Mesyuarat Bersama Majlis Tertinggi Jawatankuasa Perwakilan Pelajar serta Ketua Unit Dan Penolong Ketua Unit bagi setiap opsyen di institut Pendidikan Kent. Mesyuarat ini telah diadakan tepat pada pukul 8.30 malam di Dewan Hone yang dihadiri seramai 37 orang .

Tujuan mesyuarat ini diadakan adalah untuk membincangkan masalah yang berlaku di dalam kelas masing-masing yang sukar hendak ditangani. Selain itu, mesyuarat ini diadakan untuk mendengar suara daripada setiap Ketua Unit berkenaan masalah yang dihadapi sepanjang pembelajaran yang berlangsung bagi mempermudahkan pihak kami mengatur langkah yang efisien untuk mengatasinya. Mesyuarat ini juga sekaligus mampu mengeratkan hubungan silaturrahim di antara Majlis tertinggi perwakilan pelajar,exco pendidikan dan akademik serta semua Ketua Unit dan Penolong Ketua Unit di kampus Kent ini.

Mesyuarat dimulakan dengan pembacaan doa oleh Mohd Noor Syazwan Japlus bagi memberkati majlis pada malam tersebut. Seterusnya mesyuarat diserikan dengan ucapan pembukaan daripada Yang Di Pertua Muhd Faiz bin Abdul Razak bagi menyampaikan kata alu-aluan untuk menerangkan dengan lebih lanjut mengenai bidang tugas JPP dan hak sebagai guru pelatih.Laporan bagi kelas masing-masing dimulakan setelah selesai ucapan pembukaan daripada YDP.

Antara kelas-kelas yang terlibat dalam mesyuarat ini adalah seperti yang berikut :

i. KPLI ambilan Januari 2010

ii. PISMP Pendidikan Seni Visual 2007

iii. PISMP BAHASA ARAB 2007

iv. PISMP Pendidikan Jasmani 2008

v. PISMP Prasekolah 2008

vi. PISMP Sains 2009

vii. PISMP Matematik 2009

viii. PISMP Pemulihan 2009

ix. PISMP Pemulihan 2010

x. PISMP Bahasa Melayu 2010

xi. PPISMP Kajian Sosial 2009

xii. PPISMP Bahasa Melayu 2009

xiii. PPISMP TeSL 2009

xiv. PPISMP Sains 2009

xv. PPISMP Pengajian Agama Islam 2009

xvi. PPISMP Pendidikan Jasmani 2009

Setelah pembentangan laporan bagi setiap kelas,majlis diserahkan kepada Majlis Tertinggi jawatankuasa Perwakilan pelajar untuk menyatakan respon terhadap isu yang dibangkitkan .Dengan berakhirnya ucapan daripada YDP,maka majlis bersurai. Ucapan terima kasih kepada semua pihak yang sudi hadir dalam menjayakan mesyuarat ini.

Tuesday, April 6, 2010

Elaun Tambah Lagi?

MIRI: 03/04/10 - Kementerian Pelajaran bercadang menambah dua lagi kategori elaun khas bulanan bagi guru yang berkhidmat di kawasan pedalaman, kata Pengarah Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan, Dr Amir Salleh @ Mohd Salleh.

Katanya kategori baru itu di bawah ''Elaun Pedalaman'' akan membabitkan elaun tambahan masing-masing sebanyak RM750 dan RM1,250.


"Elaun baru ini dijangka dilaksanakan dalam sedikit masa lagi dan ia adalah tambahan kepada kategori yang sedia ada iaitu RM500, RM1,000 dan RM1,500," katanya pada sidang akhbar selepas perasmian bengkel tiga hari mengenai sekolah-sekolah kecil di sini hari ini.


Timbalan Menteri Pelajaran Dr Mohd Puad Zarkashi merasmikan bengkel berjudul ''Strategi Pedagogi Bagi Meningkatkan Prestasi Sekolah-Sekolah Kecil'' yang disertai oleh 36 peserta dari enam negara.

Amir berkata menerusi pengenalan kategori elaun tambahan, ia berharap kadar pertukaran guru di sekolah kawasan pedalaman dapat dikurangkan.

Katanya, insentif tambahan untuk guru itu juga dilihat sebagai salah satu strategi ke arah mencegah prestasi buruk sekolah di kawasan pedalaman.

Amir berkata sebuah modul baru akan diperkenalkan tahun depan sebagai sebahagian daripada kurikulum untuk pelajar sekolah pedalaman bagi meningkatkan kemampuan pembelajaran mereka.
Katanya perkhidmatan sokongan khas termasuk penginapan, tuisyen percuma, program pemakanan tambahan serta bantuan kewangan di bawah Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM) akan diteruskan kepada pelajar sekolah pedalaman. – Bernama

Monday, March 29, 2010

Komitmen Bersama

NOTIS MAKLUMAN

DARIPADA JAWATANKUASA PERWAKILAN PELAJAR
EXCO PENDIDIKAN DAN AKADEMIK

Tuan/Puan/Saudara/Saudari,

Mesyuarat Bersama Majlis Tertinggi Jawatankuasa Perwakilan Pelajar,Exco Pendidikan dan Akademik Serta Ketua Unit Dan Penolong Ketua Unit

Dengan segala hormatnya perkara di atas adalah dirujuk.

1. Sukacita dimaklumkan bahawa pihak Majlis Tertinggi Jawatankuasa Perwakilan Pelajar dan Exco Pendidikan dan Akademik akan mengadakan mesyuarat rasmi bersama Ketua Unit dan Penolong Ketua Unit bagi membincangkan permasalahan yang berlaku di kelas masing-masing.

2. Mesyuarat ini diadakan adalah untuk mendengar suara daripada setiap Ketua Unit berkenaan masalah yang dihadapi sepanjang pembelajaran yang berlangsung bagi mempermudahkan pihak kami mengatur langkah yang efisien untuk mengatasinya .

3. Tarikh,masa dan tempat adalah menurut ketetapan yang berikut : -

Tarikh : 30 MAC 2010
Masa : 8.30 MALAM
Tempat : DEWAN HONE

3. Segala kerjasama dan keprihatinan daripada pihak anda amatlah dihargai.

Sekian, Terima Kasih.


Yang Menjalankan Tugas,

________________________
(SHAHRUDDIN B. MD. HIRIN)
Ketua Exco Pendidikan dan Akademik,
Institut Pendidikan Guru Kampus Kent,
Tuaran, Sabah.

Friday, March 26, 2010

"Perlawanan Persahabatan Menjalin Ukhuwah"

Perlawanan Bola Tampar antara pasukan IPGM Kampus Kent dan wakil pasukan pelajar dari SMK Bandaraya telah berlangsung pada 24 Mac 2010 yang lalu bertempat di gelanggang bola tampar IPG Kent. Perlawanan persahabatan ini bermula pada sebelah petang yang dibahagikan kepada 2 kategori iaitu kategori lelaki dan perempuan. Diharapkan aktiviti yang sebegini akan meningkatkan lagi semangat kesukanan dan semangat untuk bersaing secara sihat di samping dapat menjalinkan hubungan erat antara para guru pelatih IPG Kent dan para pelajar SMK Bandaraya. Majulah sukan untuk semua!
SILA KLIK PADA GAMBAR UNTUK PAPARAN YANG LEBIH MENARIK

Wednesday, March 24, 2010

Makluman Aktiviti Gotong-royong kali ke-2

Sukacita dimaklumkan kepada semua JPP, satu gotong-royong untuk membersih dan menceriakan bilik gerakan JPP yang baru akan diadakan pada ketetapan berikut:

Tarikh : 26 Mac 2010
Masa : 3.30 petang
Tempat : Bilik Gerakan JPP


Kehadiran dan komitmen daripada semua pihak adalah amat diharapkan dan didahului dengan ucapan terima kasih. Sekian, untuk makluman bersama.

Tuesday, March 23, 2010

Selamat Menjalani Praktikum & PBS


Pihak JPP dengan sukacitanya ingin mengucapkan Selamat Menjalani Hari Praktikum dan PBS bagi PISMP SEM 5 dan PISMP SEM 1 bagi tahun 2010. Program praktikum akan berlangsung selama 1 bulan bermula pada tarikh 22 Mac 2010. Program PBS pula akan berlangsung selama 1 minggu bermula pada tarikh 22 Mac 2010 hingga 26 Mac 2010. Diharapkan hari-hari yang bakal ditempuhi ini akan memberi pendedahan dan pengalaman kepada semua guru pelatih yang terlibat sebagai proses untuk menjadi warga tenaga pengajar pada masa akan datang. Jadikanlah pengalaman yang berharga ini sebagai suatu ilmu yang akan digunakan dengan sebaiknya apabila bergelar pendidik kelak agar generasi seterusnya akan mendapat didikan yang berkualiti dan berkesan daripada para pendidiknya.