Saturday, March 13, 2010

Perhimpunan Kolej Kediaman Kali Ke-2

Perhimpunan Kolej Kediaman telah berlangsung dengan jayanya pada 10 Mac 2010 lalu yang telah dihadiri oleh semua penghuni Kolej Kediaman dan barisan warden IPG Kampus Kent. Majlis ini telah dikendalikan oleh barisan exco JPP dengan kerjasama pihak AJK Kolej Kediaman sesi 2010/2011. Lagu Sabah Tanah Airku dan lagu IPG telah dinyanyikan sebagai pembuka tirai majlis. Majlis diteruskan dengan sesi pengenalan dan perlantikan barisan AJK Kolej Kediaman sesi 2010 / 2011 yang berperanan sebagai pembantu kepada Exco Kolej Kediaman JPP dan pihak pentadbiran. Hasil undian yang telah dijalankan pada 5 Mac 2010 memutuskan bahawa jawatan bagi Ketua Kolej Kediaman dan timbalannya masing-masing disandang oleh saudara Khairul Patolga (PISMP PJ SEM 5) dan saudari Nurul Arina Jusli (PISMP MT SEM 3) sebagai ketua yang akan memimpin barisan AJK Kolej Kediaman ini. Diharapkan agar barisan AJK ini akan membantu pihak JPP dan seluruh guru pelatih bagi melicinkan urusan pentadbiran Kolej Kediaman. Tahniah diucapkan!
Barisan exco yang komited menjalankan tugas masing-masing

Ucapan dan kata-kata nasihat serta teguran yang disampaikan oleh En. Syibin Japar selaku Ketua Warden Kolej Kediaman tampil meneruskan pengisian majlis. Beliau memberikan pelbagai teguran dan nasihat yang sangat penting kepada semua warga IPG Kent, para guru pelatih khususnya agar sentiasa menjaga tata tertib dan tingkah laku yang baik bagi mencerminkan akhlak dan kriteria sebenar seorang guru. Perkara ini penting kerana apabila berada di arena sebagai seorang pendidik kelak, masyarakat luar akan memandang tinggi martabat seorang insan yang bergelar pendidik dan sentiasa menjadi tauladan kepada sesiapa sahaja terutamanya kepada anak bangsa. Majlis diteruskan dengan sesi soal jawab antara pihak pentadbiran Kolej Kediaman dan para guru pelatih yang hadir. Pengisian yang dikendalikan oleh En. Amidy Malagob ( Ketua Jabatan HEP) ini menerangkan perkara yang berkaitan dengan aduan, cadangan serta komen pelajar berkaitan dengan perkhidmatan yang diberikan oleh pihak pentadbiran Kolej Kediaman sepanjang sesi 2010 ini. Ternyata sesi yang berlangsung ini mendapat sambutan yang hangat daripada seluruh warga penghuni Kolej Kediaman yang hadir.


Majlis diakhiri dengan nyanyian lagu Negaraku yang dinyanyikan oleh seluruh warga dewan. Pihak JPP ingin mengucapkan tahniah kepada barisan exco yang berjaya mengendalikan perhimpunan ini dengan penuh komitmen. Tidak dilupakan juga ucapan terima kasih kepada barisan warden dan semua penghuni Kolej Kediaman yang sudi meluangkan masa untuk menghadiri perhimpunan yang serba sederhana ini namun cukup memberikan impak yang positif. Semoga segala tanggungjawab dan amanah yang telah diberikan kepada pihak tertentu akan dipikul dengan baik.






0 comments:

Post a Comment