Thursday, July 22, 2010

Program Derma Darah

Program Derma Darah telah diadakan pada 21 Julai 2010 bertempat di Dewan Hone, IPG Kampus Kent. Program kelolaan Unit Beruniform Bulan Sabit Merah Malaysia IPG Kampus Kent dengan kerjasama daripada pihak Hospital Queen Elizabeth ini telah mendapat sambutan yang menggalakkan daripada seluruh warga kampus. Program ini dijalankan pada jam 10.30 pagi dan berakhir kira-kira pada jam 2.30 petang. Tahniah kepada warga Kent yang berjaya menderma darah dan terima kasih diucapkan kepada pihak penganjur.


MAJLIS SAMBUTAN HARI GURU 2010

Assalamualaikum dan salam sejahtera, bertemu lagi kita dalam laporan pada kali ini yang berkisar tentang sambutan Hari Guru peringkat IPG Kampus Kent pada 16 Julai 2010. Meskipun majlis ini diadakan agak lewat daripada tarikh yang sepatutnya, namun ianya tidak memberikan sebarang masalah kepada warga Kent untuk bersama-sama meraikan majlis yang penuh bermakna ini.

Majlis telah bermuala seawal jam 8.30pagi bertempat di Dewan Tun Datu Mustapha yang tersergam indah. Kehadiran para guru pelatih dan pensyarah-pensyarah IPG Kampus Kent memeriahkan suasana dewan. Majlis kelolaan JPP dengan kerjasama Jabatan HEP dan beberapa unit yang lain ini telah dirasmikan oleh Pengarah Kampus, YB. Puan Mary Teresa Kinajil.

Selain itu, beberapa persembahan yang menarik telah disajikan bagi memeriahkan suasana majlis. Antaranya ialah persembahan puisi daripada a guru pelatih. Tidak kurang hebatnya, muncul seorang pensyarah yang berbakat menyampaikan puisi yang telah berjaya menggegarkan seisi dewan. Persembahan koir daripada barisan para guru pelatih yang menyampaikan lagu 'Kami Guru Malaysia' juga amat mempesonakan dan mendapat perhatian daripada semua pihak.

Majlis diakhiri dengan jamuan yang disediakan oleh para guru pelatih kepada para pensyarah yang telah menyumbangkan pelbagai bakti sebagai tanda penghargaan dan hadiah kepada mereka. Terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan majlis ini dan sekalung penghargaan kepada seluruh warga pendidik IPG Kampus Kent! Jasamu akan dikenang sehingga ke hembusan nafas yang terakhir. InsyAllah..

SIARAN LANGSUNG FIFA WORLD CUP 2010!

Program siaran langsung perlawanan bola sepak antara pasukan Belanda dan Sepanyol ini telah berlangsung dengan jayanya di Dewan Tun Datu Mustapha. Perlawanan yang bersiaran pada jam 2.30 pagi itu telah dihangatkan oleh guru-guru pelatih IPG Kampus Kent meskipun keesokan harinya kuliah akan dijalankan seperti biasa seawal jam 7.30 pagi. Namun, semangat kesukanan yang tinggi dalam kalangan guru pelatih membuatkan program siaran langsung ini tidak sepi. Beberapa orang pensyarah juga turut 'turun padang' bagi bersama-sama menyaksikan perlawanan Piala Dunia yang diadakan empat tahun sekali. Sebelum bermulanya perlawanan juga, pihak penganjur iaitu JPP dengan kerjasama Jabatan HEP telah mengadakan beberapa 'game' bagi menghangatkan suasana. Terima kasih kepada semua pihak yang bersama-sama menjayakan program ini! Tidak dilupakan juga kepada pasukan kegemaran ramai iaitu Sepanyol yang berjaya menjaringkan gol kemenangan pada saat-saat akhir perlawanan dan menjuarai Perlawanan Bola Sepak Piala Dunia pada tahun ini!



PES

MAJLIS SALAM MESRA BERSAMA PENGARAH BPG

Pada 6 Julai 2010 bersamaan hari Selasa, IPG Kampus Kent telah menerima kunjungan mesra daripada Pengarah BPG, bertempat di dewan Tun Datu Mustapha,IPG Kampus Kent. Ketibaan Tuan Pengarah disambut mesra oleh pengarah kampus, timbalan pengarah dan ketua-ketua jabatan serta beberapa orang pensyarah yang terlibat. Majlis ini dikelolakan oleh Jawatankuasa Perwakilan Pelajar dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Pelajar.

Kunjungan mesra daripada Pengarah BPG ini bertujuan untuk memberikan dorongan dan amanat kepada seluruh pelajar ambilan baru Jun 2010 yang berjaya menempatkan diri dalam alam perguruan. Dalam ucapannya, beliau menegaskan beberapa etika penting bagi melayakkan seseorang itu menjadi guru yang cemerlang dan berkualiti. Tugas guru bukan sahaja mengajar malah mendidik seseorang pelajar itu dengan bersungguh-sungguh dalam pelbagai aspek. Kejayaan mendidik pelajar merupakan komponen penting bagi sesebuah institusi untuk melahirkan pelajar yang seimbang dari aspek jasmani dan rohani.


Majlis berakhir dengan nyanyian lagu negaraku dan jamuan ringkas bagi Tuan Pengarah serta para pensyarah yang terlibat. Pihak JPP ingin merakamkan sekalung penghargaan kepada YB Tuan Pengarah BPG kerana sudi mengadakan kunjungan mesra di kampus ini. Sekalung tahniah juga diucapkan kepada semua pihak yang bekerjasama dalam menjayakan majlis ini.

Saturday, July 17, 2010

Perhimpunan Kolej Kediaman

Perhimpunan Kolej Kediaman pada kali ini telah diadakan pada 5 Julai 2010 bertempat di Dewan Tun Datu Mustapha tepat jam 8.30 malam. Perhimpunan ini dijalankan bagi memenuhi takwim aktiviti bulanan Kolej Kediaman. Perhimpunan ringkas di bawah Exco Kolej Kediaman dengan kerjasama Jabatan HEP ini telah dihadiri oleh En. Amidy Malagob selaku Ketua Jabatan HEP dan seluruh penghuni Kolej Kediaman IPG Kampus Kent.

Selain itu, tujuan perhimpunan ini dijalankan adalah untuk pengisian borang banci serta sesi bergambar peghuni Kolej Kediaman. En. Amidy telah memberikan taklimat pengisian borang banci bagi mengelakkan sebarang kemusykilan yang berlaku. Perhimpunan tamat pada jam 10.30 malam dengan nyanian lagu Negaraku.

Perhimpunan Bersama Pengarah

Majlis Perhimpunan Rasmi Bersama Pengarah telah selesai dijalankan pada 5 Julai 2010 bersamaan hari Isnin yang bertempat di Dewan Tun Datu Mustapha tepat pada jam 10.30 pagi. Majlis di bawah kelolaan JPP dengan kerjasama Jabatan HEP ini telah dihadiri oleh para pensyarah dan guru-guru pelatih IPG Kent. Perhimpunan yang bertemakan 'Selangkah Ke Alam Pendidikan' ini mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada Pengarah Kampus. Ucapannya yang menekankan kepentingan komunikasi berkesan dalam pengajaran dan pembelajaran adalah menjadi tanggungjawab seorang guru.

Dari kiri: En. Doti Asing, En. Romli Darus, YB Pn. Mary Teresa Kinajil, Pn. Juliana Dumpil

Beliau juga menekankan agar para guru pelatih bersungguh-sungguh sepanjang tempoh latihan ini agar dapat menggunakan pengalaman yang ada bagi menempuhi kehidupan sebagai seorang pendidik kelak. Majlis berakhir pada jam 11.30 dengan nyanyian lagu Negaraku. Ucapan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang memberikan kerjasama padu dalam menjayakan perhimpunan pada kali ini.