Monday, April 19, 2010

Kem Kepimpinan Fasa 1

Laporan Kursus Kem Kepimpinan Fasa 1

Pada 15 April 2010 bersamaan hari Khamis, Jawatankuasa Perwakilan Pelajar, IPG Kampus Kent telah menganjurkan aktiviti Kursus Kem Kepimpinan yang disertai oleh 34 orang JPP dan enam orang Ketua unit PPISMP Ambilan Julai 2009 yang mewakili unit masing-masing seterusnya menggantikan tempat enam orang exco yang tidak dapat menyertai kem ini. Tidak ketinggalan juga enam orang pensyarah pengiring yang bertindak sebagai pemerhati dan tiga orang jurukamera yang bertugas melaksanakan tugas pendokumentasian sepanjang program ini berlangsung.

Kursus Kem Kepimpinan ini telah diadakan di Pusat Kokurikulum Negeri yang bertempat di Malanggang, Tamparuli. Perjalanan menuju ke destinasi yang menggunakan bas IP Kent telah mengambil masa selama satu jam. Setibanya di tapak perkhemahan, para peserta telah bergotong-royong membentuk khemah penginapan di bawah tunjuk ajar pensyarah yang bersama-sama menyertai program ini..

Seterusnya pada jam 10.00 pagi, LDK 1 ( Ice-breaking dan pembentukan kumpulan ) telah dijalankan dan dikendalikan oleh Encik Shyibin Jaafar. Setelah itu, aktiviti bengkel 1 telah dijalankan dan berakhir setelah masuk waktu untuk menunaikan solat Zohor dan makan tengah hari. Pada jam 1400, aktiviti disusuli dengan slot ceramah yang disampaikan oleh Timbalan Pengarah IPG Kent, Encik Romli Darus yang memberikan ceramah berkaitan dengan “Towering Personality” yang menjadi pengisian aktiviti bengkel 2. Pada jam 1600, aktiviti riadah yang bertujuan untuk membina keyakinan diri yang dijalankan melalui aktiviti “Flying Fox”.

Pada sebelah malam, semua exco telah mengadakan perbincangan masing-masing bagi menyediakan kertas kerja perancangan program tahunan JPP. Kertas kerja tersebut amat penting bagi memastikan setiap program berjalan dengan jayanya dan akan diambil tindakan susulan untuk dilaksanakan sekembalinya ke kampus Kent bagi memenuhi takwim tahunan JPP.

Pada 16 April 2010 bersamaan hari Jumaat, peserta muslim telah mendirikan solat Qiammullail sebagai santapan rohani manakala bagi peserta bukan muslim pula mereka telah menghadiri kuliah moral. Aktiviti riadah pada sebelah paginya pula ialah aktiviti berbasikal. Menariknya, aktiviti ini merupakan salah satu aktiviti yang dinanti-nantikan oleh semua peserta kem. Hal ini kerana, terdapat segelintir peserta kem yang tidak berpengalaman mengayuh basikal sebelum ini. Peserta mengayuh basikal dari Pusat Ko-kurikulum menuju ke pekan Kiulu yang memakan masa selama satu jam perjalanan. Bagi peserta lelaki yang muslim, solat Jumaat telah didirikan di Masjid Kiulu dan seterusnya menikmati makanan tengahari yang disediakan oleh pihak Pusat Ko-kurikulum sekembalinya semua peserta ke tapak perkhemahan.

Pada sebelah petang, semua peserta telah bersiap sedia untuk kembali ke IP Kent dan bertolak tepat pada jam 1500. Aktiviti ini amat berfaedah dan sewajarnya dianjurkan agar para peserta yang terlibat mampu membentuk sifat kepimpinan dan jati diri yang cemerlang. Hal ini kerana, para peserta yang terlibat merupakan barisan pemimpin yang bertanggungjawab memimpin dan mewakili suara guru pelatih warga Kent dalam menempuhi kehidupan sebagai seorang bakal guru khususnya. Diharapkan aktiviti seumpama ini akan terus dijalankan sebagai usaha untuk melahirkan graduan IP Kent yang berkarisma tinggi, berkepimpinan dan berdaya saing serta memiliki intelek yang tinggi selaras dengan kehendak profesion keguruan masa kini.

0 comments:

Post a Comment