Wednesday, April 28, 2010

Pertandingan Karnival Teknologi Pendidikan

April 27, 2010


Pertandingan Karnival Teknologi Pendidikan Anjuran IPGM Kampus Dato' Razali Ismail.

Peserta : Pelajar IPG Seluruh Malaysia

Tema : Pendidikan Alam Sekitar menjamin Kesejahteraan Manusia

Masa : Tayangan : 5 minit

Format Video : .avi

Maksimum penyertaan : 10 penyertaan setiap orang dalam bentuk DVD

Tarikh akhir : 28 Mei 2010


Maklumat lanjut hubungi :

Biamin bin Ahmad
Ketua Jabatan
Jabatan Teknologi Pendidikan
IPG Kampus Dato' Razali Ismail.


Perhatian kepada unit yang berminat untuk menyertai pertandingan ini, sila berhubung dengan Exco Penerbitan, Informasi dan Multimedia Jawatankuasa Perwakilan Pelajar 2010 sebelum 15 Mei 2010. Arigatou gozaimasu!

Perjumpaan Asrama Kali Ke-3

Perhimpunan Kolej Kediaman telah berlangsung dengan jayanya pada 28 April 2010 lalu yang telah dihadiri oleh semua penghuni Kolej Kediaman dan barisan warden IPG Kampus Kent. Majlis ini telah dikendalikan oleh barisan exco JPP dengan kerjasama pihak AJK Kolej Kediaman sesi 2010/2011. Lagu Sabah Tanah Airku dan lagu IPG telah dinyanyikan sebagai pembuka tirai majlis serta bacaan doa yang diketuai oleh seorang guru pelatih.Majlis diteruskan dengan ucapan alu-aluan daripada Ketua Exco Kolej Kediaman, Saudara Alvin Sapun dan timbalannya, Saudari Suzitah Joas. Pengumuman ringkas telah disampaikan kepada semua penghuni Kolej Kediaman agar sentiasa menjaga kebersihan dan keceriaan Kolej Kediaman kerana pertandingan Kebersihan dan Keceriaan Kolej Kediaman akan dilaksanakan bermula pada minggu tersebut. Ucapan alu-aluan telah diteruskan oleh En. Shybin Jafaar selaku Ketua Warden Exco Kolej Kediaman yang telah menyampaikan beberapa makluman penting kepada semua guru pelatih. Antaranya ialah, mematuhi peraturan jadual waktu interaksi yang telah ditetapkan, memakai pakaian formal ketika Perhimpunan Kolej Kediaman dijalankan dan sentiasa menjaga tatasusila dan akhlak sebagai seorang bakal guru. Diharapkan perhimpunan ringkas ini memberikan banyak manfaat kepada semua guru pelatih mengenai maklumat-maklumat terbaru yang telah disampaikan. Majlis berakhir dengan nyanyian lagu Negaraku.

Makan Malam Bersama Pengarah


Pada 19 April 2010 bersamaan hari Isnin, satu Majlis Makan Malam bersama Pengarah IPG Kampus Kent telah berlangsung dengan meriahnya. Majlis Makan Malam yang berlokasi di Restoran Kampung Nelayan, Tuaran telah dihadiri oleh Pengarah IPG, YB Puan Mary Teresa Kinajil, barisan pensyarah HEP dan pensyarah-pensyarah lain, barisan JPP sesi 2010/2011 dan JPP sesi 2009/2010.

Bacaan doa yang diketuai oleh saudara Ahmad Nur Zharif telah menjadi pembuka tirai majlis makan malam ini. Majlis dirteruskan dengan jamuan makan malam yang telah disediakan oleh pihak restoran. Selain itu, pihak restoran juga telah mengadakan persembahan pentas khusus untuk menghiburkan para pengunjung yang hadir pada malam itu. Menariknya, beberapa orang wakil daripada IPG Kampus Kent turut berani menampilkan diri apabila menerima undangan spontan daripada para penghibur tersebut. Sesungguhnya, majlis seumpama ini mampu untuk melahirkan ikatan silaturrahim yang lebih erat antara para pensyarah dan para exco Jawatankuasa Perwakilan Pelajar yang lama dan baru.

Majlis disusuli dengan sesi bergambar bersama Pengarah Kampus dan berakhir pada jam 11.00 malam. Pihak JPP sesi 2010/2011 ingin memberikan sekalung penghargaan kepada para pensyarah yang terlibat dalam Majlis Makan Malam ini yang bertujuan untuk meraikan perlantikan barisan JPP yang baru dan sebagai penghargaan kepada barisan exca JPP yang lam. Ucapan syabas dan tahniah juga ditujukan kepada barisan JPP sesi 2009/2010 yang telah berjaya menjalankan tugas sepanjang tahun 2009 yang lalu.

Monday, April 19, 2010

Kem Kepimpinan Fasa 1

Laporan Kursus Kem Kepimpinan Fasa 1

Pada 15 April 2010 bersamaan hari Khamis, Jawatankuasa Perwakilan Pelajar, IPG Kampus Kent telah menganjurkan aktiviti Kursus Kem Kepimpinan yang disertai oleh 34 orang JPP dan enam orang Ketua unit PPISMP Ambilan Julai 2009 yang mewakili unit masing-masing seterusnya menggantikan tempat enam orang exco yang tidak dapat menyertai kem ini. Tidak ketinggalan juga enam orang pensyarah pengiring yang bertindak sebagai pemerhati dan tiga orang jurukamera yang bertugas melaksanakan tugas pendokumentasian sepanjang program ini berlangsung.

Kursus Kem Kepimpinan ini telah diadakan di Pusat Kokurikulum Negeri yang bertempat di Malanggang, Tamparuli. Perjalanan menuju ke destinasi yang menggunakan bas IP Kent telah mengambil masa selama satu jam. Setibanya di tapak perkhemahan, para peserta telah bergotong-royong membentuk khemah penginapan di bawah tunjuk ajar pensyarah yang bersama-sama menyertai program ini..

Seterusnya pada jam 10.00 pagi, LDK 1 ( Ice-breaking dan pembentukan kumpulan ) telah dijalankan dan dikendalikan oleh Encik Shyibin Jaafar. Setelah itu, aktiviti bengkel 1 telah dijalankan dan berakhir setelah masuk waktu untuk menunaikan solat Zohor dan makan tengah hari. Pada jam 1400, aktiviti disusuli dengan slot ceramah yang disampaikan oleh Timbalan Pengarah IPG Kent, Encik Romli Darus yang memberikan ceramah berkaitan dengan “Towering Personality” yang menjadi pengisian aktiviti bengkel 2. Pada jam 1600, aktiviti riadah yang bertujuan untuk membina keyakinan diri yang dijalankan melalui aktiviti “Flying Fox”.

Pada sebelah malam, semua exco telah mengadakan perbincangan masing-masing bagi menyediakan kertas kerja perancangan program tahunan JPP. Kertas kerja tersebut amat penting bagi memastikan setiap program berjalan dengan jayanya dan akan diambil tindakan susulan untuk dilaksanakan sekembalinya ke kampus Kent bagi memenuhi takwim tahunan JPP.

Pada 16 April 2010 bersamaan hari Jumaat, peserta muslim telah mendirikan solat Qiammullail sebagai santapan rohani manakala bagi peserta bukan muslim pula mereka telah menghadiri kuliah moral. Aktiviti riadah pada sebelah paginya pula ialah aktiviti berbasikal. Menariknya, aktiviti ini merupakan salah satu aktiviti yang dinanti-nantikan oleh semua peserta kem. Hal ini kerana, terdapat segelintir peserta kem yang tidak berpengalaman mengayuh basikal sebelum ini. Peserta mengayuh basikal dari Pusat Ko-kurikulum menuju ke pekan Kiulu yang memakan masa selama satu jam perjalanan. Bagi peserta lelaki yang muslim, solat Jumaat telah didirikan di Masjid Kiulu dan seterusnya menikmati makanan tengahari yang disediakan oleh pihak Pusat Ko-kurikulum sekembalinya semua peserta ke tapak perkhemahan.

Pada sebelah petang, semua peserta telah bersiap sedia untuk kembali ke IP Kent dan bertolak tepat pada jam 1500. Aktiviti ini amat berfaedah dan sewajarnya dianjurkan agar para peserta yang terlibat mampu membentuk sifat kepimpinan dan jati diri yang cemerlang. Hal ini kerana, para peserta yang terlibat merupakan barisan pemimpin yang bertanggungjawab memimpin dan mewakili suara guru pelatih warga Kent dalam menempuhi kehidupan sebagai seorang bakal guru khususnya. Diharapkan aktiviti seumpama ini akan terus dijalankan sebagai usaha untuk melahirkan graduan IP Kent yang berkarisma tinggi, berkepimpinan dan berdaya saing serta memiliki intelek yang tinggi selaras dengan kehendak profesion keguruan masa kini.

Mesyuarat Jawatankuasa kali ke-4

Mesyuarat JPP kali keempat telah diadakan pada 12 April 2010 bertempat di Bilik Mahathir IPG Kampus Kent. Mesyuarat pada kali ini telah dihadiri oleh Ustaz Mohd. Fauzi Hassan (Penasihat JPP) dan semua ahli JPP sesi 2010/2011. Namun demikian, terdapat juga beberapa orang ahli jawatankuasa yang tidak dapat menghadirkan diri dalam mesyuarat ini atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan.

Agenda mesyuarat ini adalah untuk memberi makluman kepada semua ahli JPP berkaitan dengan keputusan Takwim Aktivit Tahunan bagi tahun 2010 dan 2011. Takwim Aktiviti Tahunan tersebut telah disampaikan dengan jelas dan terperinci oleh Setiausaha Agung, Saudara Ak. Azmi Ak. Jiar. Majlis diteruskan dengan perbincangan bersama Ustaz Mohd. Fauzi berkaitan dengan isu-isu semasa yang melibatkan hal kebajikan para guru pelatih. Akhir sekali, perbincangan mesyuarat dibuka kepada hal-hal berbangkit. Dalam perbincangan ini, Ustaz Mohd. Fauzi telah memaklumkan bahawa pada tahun ini JPP akan diaudit oleh pihak pengaudit (MQA) yang bertanggunjawab untuk menjalankan tugas tersebut. Oleh itu, semua exco dikehendaki untuk bersedia.

Mesyuarat diakhiri dengan kata-kata perangsang dan nasihat daripada pensyarah penasihat agar JPP pada tahun ini akan bergiat dengan lebih aktif dan memberikan komitmen dengan sebaiknya agar segala urusan kerja dapat dilaksanakan dengan cemerlang. Setinggi-tinggi penghargaan kepada Ustaz Mohd. Fauzi kerana sudi meluangkan masa untuk bersama-sama menghadiri mesyuarat pada kali ini. Segala kekurangan harap dapat dimaafkan.

Laporan Sesi Dialog Bersama JPP

Pada 30 haribulan Mac 2010 bersamaan dengan hari selasa, Exco Pendidikan dan Akademik telah mengadakan Mesyuarat Bersama Majlis Tertinggi Jawatankuasa Perwakilan Pelajar serta Ketua Unit Dan Penolong Ketua Unit bagi setiap opsyen di institut Pendidikan Kent. Mesyuarat ini telah diadakan tepat pada pukul 8.30 malam di Dewan Hone yang dihadiri seramai 37 orang .

Tujuan mesyuarat ini diadakan adalah untuk membincangkan masalah yang berlaku di dalam kelas masing-masing yang sukar hendak ditangani. Selain itu, mesyuarat ini diadakan untuk mendengar suara daripada setiap Ketua Unit berkenaan masalah yang dihadapi sepanjang pembelajaran yang berlangsung bagi mempermudahkan pihak kami mengatur langkah yang efisien untuk mengatasinya. Mesyuarat ini juga sekaligus mampu mengeratkan hubungan silaturrahim di antara Majlis tertinggi perwakilan pelajar,exco pendidikan dan akademik serta semua Ketua Unit dan Penolong Ketua Unit di kampus Kent ini.

Mesyuarat dimulakan dengan pembacaan doa oleh Mohd Noor Syazwan Japlus bagi memberkati majlis pada malam tersebut. Seterusnya mesyuarat diserikan dengan ucapan pembukaan daripada Yang Di Pertua Muhd Faiz bin Abdul Razak bagi menyampaikan kata alu-aluan untuk menerangkan dengan lebih lanjut mengenai bidang tugas JPP dan hak sebagai guru pelatih.Laporan bagi kelas masing-masing dimulakan setelah selesai ucapan pembukaan daripada YDP.

Antara kelas-kelas yang terlibat dalam mesyuarat ini adalah seperti yang berikut :

i. KPLI ambilan Januari 2010

ii. PISMP Pendidikan Seni Visual 2007

iii. PISMP BAHASA ARAB 2007

iv. PISMP Pendidikan Jasmani 2008

v. PISMP Prasekolah 2008

vi. PISMP Sains 2009

vii. PISMP Matematik 2009

viii. PISMP Pemulihan 2009

ix. PISMP Pemulihan 2010

x. PISMP Bahasa Melayu 2010

xi. PPISMP Kajian Sosial 2009

xii. PPISMP Bahasa Melayu 2009

xiii. PPISMP TeSL 2009

xiv. PPISMP Sains 2009

xv. PPISMP Pengajian Agama Islam 2009

xvi. PPISMP Pendidikan Jasmani 2009

Setelah pembentangan laporan bagi setiap kelas,majlis diserahkan kepada Majlis Tertinggi jawatankuasa Perwakilan pelajar untuk menyatakan respon terhadap isu yang dibangkitkan .Dengan berakhirnya ucapan daripada YDP,maka majlis bersurai. Ucapan terima kasih kepada semua pihak yang sudi hadir dalam menjayakan mesyuarat ini.

Tuesday, April 6, 2010

Elaun Tambah Lagi?

MIRI: 03/04/10 - Kementerian Pelajaran bercadang menambah dua lagi kategori elaun khas bulanan bagi guru yang berkhidmat di kawasan pedalaman, kata Pengarah Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan, Dr Amir Salleh @ Mohd Salleh.

Katanya kategori baru itu di bawah ''Elaun Pedalaman'' akan membabitkan elaun tambahan masing-masing sebanyak RM750 dan RM1,250.


"Elaun baru ini dijangka dilaksanakan dalam sedikit masa lagi dan ia adalah tambahan kepada kategori yang sedia ada iaitu RM500, RM1,000 dan RM1,500," katanya pada sidang akhbar selepas perasmian bengkel tiga hari mengenai sekolah-sekolah kecil di sini hari ini.


Timbalan Menteri Pelajaran Dr Mohd Puad Zarkashi merasmikan bengkel berjudul ''Strategi Pedagogi Bagi Meningkatkan Prestasi Sekolah-Sekolah Kecil'' yang disertai oleh 36 peserta dari enam negara.

Amir berkata menerusi pengenalan kategori elaun tambahan, ia berharap kadar pertukaran guru di sekolah kawasan pedalaman dapat dikurangkan.

Katanya, insentif tambahan untuk guru itu juga dilihat sebagai salah satu strategi ke arah mencegah prestasi buruk sekolah di kawasan pedalaman.

Amir berkata sebuah modul baru akan diperkenalkan tahun depan sebagai sebahagian daripada kurikulum untuk pelajar sekolah pedalaman bagi meningkatkan kemampuan pembelajaran mereka.
Katanya perkhidmatan sokongan khas termasuk penginapan, tuisyen percuma, program pemakanan tambahan serta bantuan kewangan di bawah Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM) akan diteruskan kepada pelajar sekolah pedalaman. – Bernama