Monday, March 29, 2010

Komitmen Bersama

NOTIS MAKLUMAN

DARIPADA JAWATANKUASA PERWAKILAN PELAJAR
EXCO PENDIDIKAN DAN AKADEMIK

Tuan/Puan/Saudara/Saudari,

Mesyuarat Bersama Majlis Tertinggi Jawatankuasa Perwakilan Pelajar,Exco Pendidikan dan Akademik Serta Ketua Unit Dan Penolong Ketua Unit

Dengan segala hormatnya perkara di atas adalah dirujuk.

1. Sukacita dimaklumkan bahawa pihak Majlis Tertinggi Jawatankuasa Perwakilan Pelajar dan Exco Pendidikan dan Akademik akan mengadakan mesyuarat rasmi bersama Ketua Unit dan Penolong Ketua Unit bagi membincangkan permasalahan yang berlaku di kelas masing-masing.

2. Mesyuarat ini diadakan adalah untuk mendengar suara daripada setiap Ketua Unit berkenaan masalah yang dihadapi sepanjang pembelajaran yang berlangsung bagi mempermudahkan pihak kami mengatur langkah yang efisien untuk mengatasinya .

3. Tarikh,masa dan tempat adalah menurut ketetapan yang berikut : -

Tarikh : 30 MAC 2010
Masa : 8.30 MALAM
Tempat : DEWAN HONE

3. Segala kerjasama dan keprihatinan daripada pihak anda amatlah dihargai.

Sekian, Terima Kasih.


Yang Menjalankan Tugas,

________________________
(SHAHRUDDIN B. MD. HIRIN)
Ketua Exco Pendidikan dan Akademik,
Institut Pendidikan Guru Kampus Kent,
Tuaran, Sabah.

Friday, March 26, 2010

"Perlawanan Persahabatan Menjalin Ukhuwah"

Perlawanan Bola Tampar antara pasukan IPGM Kampus Kent dan wakil pasukan pelajar dari SMK Bandaraya telah berlangsung pada 24 Mac 2010 yang lalu bertempat di gelanggang bola tampar IPG Kent. Perlawanan persahabatan ini bermula pada sebelah petang yang dibahagikan kepada 2 kategori iaitu kategori lelaki dan perempuan. Diharapkan aktiviti yang sebegini akan meningkatkan lagi semangat kesukanan dan semangat untuk bersaing secara sihat di samping dapat menjalinkan hubungan erat antara para guru pelatih IPG Kent dan para pelajar SMK Bandaraya. Majulah sukan untuk semua!
SILA KLIK PADA GAMBAR UNTUK PAPARAN YANG LEBIH MENARIK

Wednesday, March 24, 2010

Makluman Aktiviti Gotong-royong kali ke-2

Sukacita dimaklumkan kepada semua JPP, satu gotong-royong untuk membersih dan menceriakan bilik gerakan JPP yang baru akan diadakan pada ketetapan berikut:

Tarikh : 26 Mac 2010
Masa : 3.30 petang
Tempat : Bilik Gerakan JPP


Kehadiran dan komitmen daripada semua pihak adalah amat diharapkan dan didahului dengan ucapan terima kasih. Sekian, untuk makluman bersama.

Tuesday, March 23, 2010

Selamat Menjalani Praktikum & PBS


Pihak JPP dengan sukacitanya ingin mengucapkan Selamat Menjalani Hari Praktikum dan PBS bagi PISMP SEM 5 dan PISMP SEM 1 bagi tahun 2010. Program praktikum akan berlangsung selama 1 bulan bermula pada tarikh 22 Mac 2010. Program PBS pula akan berlangsung selama 1 minggu bermula pada tarikh 22 Mac 2010 hingga 26 Mac 2010. Diharapkan hari-hari yang bakal ditempuhi ini akan memberi pendedahan dan pengalaman kepada semua guru pelatih yang terlibat sebagai proses untuk menjadi warga tenaga pengajar pada masa akan datang. Jadikanlah pengalaman yang berharga ini sebagai suatu ilmu yang akan digunakan dengan sebaiknya apabila bergelar pendidik kelak agar generasi seterusnya akan mendapat didikan yang berkualiti dan berkesan daripada para pendidiknya.

Saturday, March 13, 2010

Jpp wish u..


Warga Jpp dengan berbesar hati ingin mengucapkan selamat bercuti kepada seluruh warga Ipg Kent, Tuaran. Cuti pertengahan semester ini bermula pada 13 hingga 21 Mac 2010. Diharapkan cuti seminggu ini akan dimanfaatkan dengan sesungguhnya agar memberi kebaikan kepada diri sendiri. Selain itu, JPP juga ingin mengucapkan selamat 'berbulan madu' dengan KKP. Isikanlah masa lapang anda dengan sebaik mungkin dan selamat berjaya!

Perhimpunan Kolej Kediaman Kali Ke-2

Perhimpunan Kolej Kediaman telah berlangsung dengan jayanya pada 10 Mac 2010 lalu yang telah dihadiri oleh semua penghuni Kolej Kediaman dan barisan warden IPG Kampus Kent. Majlis ini telah dikendalikan oleh barisan exco JPP dengan kerjasama pihak AJK Kolej Kediaman sesi 2010/2011. Lagu Sabah Tanah Airku dan lagu IPG telah dinyanyikan sebagai pembuka tirai majlis. Majlis diteruskan dengan sesi pengenalan dan perlantikan barisan AJK Kolej Kediaman sesi 2010 / 2011 yang berperanan sebagai pembantu kepada Exco Kolej Kediaman JPP dan pihak pentadbiran. Hasil undian yang telah dijalankan pada 5 Mac 2010 memutuskan bahawa jawatan bagi Ketua Kolej Kediaman dan timbalannya masing-masing disandang oleh saudara Khairul Patolga (PISMP PJ SEM 5) dan saudari Nurul Arina Jusli (PISMP MT SEM 3) sebagai ketua yang akan memimpin barisan AJK Kolej Kediaman ini. Diharapkan agar barisan AJK ini akan membantu pihak JPP dan seluruh guru pelatih bagi melicinkan urusan pentadbiran Kolej Kediaman. Tahniah diucapkan!
Barisan exco yang komited menjalankan tugas masing-masing

Ucapan dan kata-kata nasihat serta teguran yang disampaikan oleh En. Syibin Japar selaku Ketua Warden Kolej Kediaman tampil meneruskan pengisian majlis. Beliau memberikan pelbagai teguran dan nasihat yang sangat penting kepada semua warga IPG Kent, para guru pelatih khususnya agar sentiasa menjaga tata tertib dan tingkah laku yang baik bagi mencerminkan akhlak dan kriteria sebenar seorang guru. Perkara ini penting kerana apabila berada di arena sebagai seorang pendidik kelak, masyarakat luar akan memandang tinggi martabat seorang insan yang bergelar pendidik dan sentiasa menjadi tauladan kepada sesiapa sahaja terutamanya kepada anak bangsa. Majlis diteruskan dengan sesi soal jawab antara pihak pentadbiran Kolej Kediaman dan para guru pelatih yang hadir. Pengisian yang dikendalikan oleh En. Amidy Malagob ( Ketua Jabatan HEP) ini menerangkan perkara yang berkaitan dengan aduan, cadangan serta komen pelajar berkaitan dengan perkhidmatan yang diberikan oleh pihak pentadbiran Kolej Kediaman sepanjang sesi 2010 ini. Ternyata sesi yang berlangsung ini mendapat sambutan yang hangat daripada seluruh warga penghuni Kolej Kediaman yang hadir.


Majlis diakhiri dengan nyanyian lagu Negaraku yang dinyanyikan oleh seluruh warga dewan. Pihak JPP ingin mengucapkan tahniah kepada barisan exco yang berjaya mengendalikan perhimpunan ini dengan penuh komitmen. Tidak dilupakan juga ucapan terima kasih kepada barisan warden dan semua penghuni Kolej Kediaman yang sudi meluangkan masa untuk menghadiri perhimpunan yang serba sederhana ini namun cukup memberikan impak yang positif. Semoga segala tanggungjawab dan amanah yang telah diberikan kepada pihak tertentu akan dipikul dengan baik.






Wednesday, March 10, 2010

Makluman Mesyuarat JPP

Makluman kepada semua JPP, mesyuarat seterusnya akan diadakan pada ketetapan berikut:

Tarikh : 11 Mac 2010 ( Khamis )
Masa : 8.30 malam
Lokasi : Bilik Mahathir

Agenda mesyuarat ini adalah untuk membentangkan perancangan takwim bagi setiap exco. Oleh yang demikian, setiap exco diharapkan agar dapat membuat persiapan yang selengkapnya bagi memastikan perjalanan mesyuarat berjalan dengan lancar. Sekian, untuk makluman bersama.

Monday, March 8, 2010

halaman aduan / cadangan




Pihak JPP amat berbesar hati untuk menerima sebarang aduan dan cadangan daripada seluruh guru pelatih IPG Kampus Kent. Untuk sementara waktu ini, anda hanya perlu isikan bahagian comment di atas bagi melaporkan aduan ataupun memberikan sebarang cadangan. Kami menasihatkan agar aduan dan cadangan yang dilontarkan tidak menyentuh sebarang isu sensitif dan menjaga hak sesama individu. Sekian, segala respon daripada anda amatlah kami harapkan.

"Suara Anda Warga Kent, Komitmen Kami JPP"

Saturday, March 6, 2010

Perhimpunan Kolej Kediaman

Makluman kepada semua penghuni Kolej Kediaman, perhimpunan Kolej Kediaman akan diadakan pada ketetapan berikut:

Tarikh: 10 MAC 2010
Masa : 8.00 malam
Lokasi: Dewan Hone

Kehadiran adalah wajib. Harapan kami agar anda memberikan kerjasama dan komitmen sepenuhnya untuk menghadiri perhimpunan ini. Sekian, harap maklum..

MAKLUMAN

buat masa ini, blog JPP IPGM Kent adalah dalam proses pembikinan semula. harap maaf atas kesulitan yang timbul.

Monday, March 1, 2010

Makluman Mesyuarat JPP

Assalamualaikum dan salam perpaduan, makluman kepada semua JPP 2010/2011, pada malam ini (1 MAC 2010 ), akan diadakan mesyuarat jawatankuasa pada ketetapan berikut:

Lokasi: Bilik Mahathir
Masa : 8.30pm

Mesyuarat ini bertujuan untuk membincangkan bidang tugasan setiap exco dan juga hal-hal yang berkaitan. Kehadiran dan keperihatinan daripada pihak anda amatlah diharapkan. Sekian, harap maklum..

Majlis Perhimpunan & Penyampaian Watikah Perlantikan JPP Sesi 2010/2011



SILA KLIK PADA GAMBAR UNTUK PAPARAN YANG LEBIH MENARIK

Syukur kepada Tuhan, pada hari ini, Jawatankuasa Perwakilan Pelajar Sesi 2010/2011 IPG Kampus Kent telah selamat menerima watikah perlantikan dengan jayanya. Majlis dimulakan dengan perarakan masuk dewan oleh Yang Berbahagia, Puan Mary Teresa Kinajil, Pengarah Institut Kampus Kent dengan diiringi oleh barisan exco JPP Sesi 2010/2011 serta iringan bunga manggar. Majlis diteruskan dengan ucapan daripada Ustaz Fauzi bin Hasan selaku penasihat JPP untuk mengumumkan stiap exco yang telah terpilih. Upacara disusuli dengan majlis menandatangani borang perjanjian dan seterusnya lafaz ikrar daripada Yang Di-Pertua JPP, Saudara Faiz dan diikut oleh exco JPP seramai 29 orang.

YDP JPP sempat memberikan amanat kepada seluruh mahasiswa agar bersama-sama berganding bahu memartabatkan mahasiswa IPG Kent. Dalam ucapannya memberikan gambaran betapa tingginya kekuatan sebuah organisasi mahasiswa di dunia dan berharap agar semua mahasiswa menyedari kenyataan tersebut seterusnya keluar dari kepompong alam sekolah menengah dan bersikap matang.

Ucapan diteruskan oleh Yang Berbahagia, Puan Mary Teresa Kinajil, Pengarah Institut dengan mengucapkan tahniah kepada exco JPP yang terpilih seterusnya memberi nasihat agar JPP sesi ini memberikan sepenuh komitmen dan menjadi 'role model' kepada rakan-rakan mahasiswa yang lain. Sesungguhnya amanah ini merupakan sesuatu tanggungjawab yang mesti dipikul apabila telah menerima watikah perlantikan ini dan tidak terhenti di tengah jalan.

Majlis penuh gilang gemilang ini diakhiri dengan sesi bergambar barisan exco JPP bersama Pengarah Institut dan pensyarah-pensyarah yang terlibat. Ucapan setinggi-tinggi penghargaan dan tahniah kepada opsyen PISMP Sains kerana telah melaksanakan pengurusan majlis dengan baik dan sistematik.Tahniah sekali lagi..